Jumat, 15 Januari 2010

SOLAT SUNAT GERHANA MATAHARI DAN BULAN



Solat Gerhana disebut di dalam bahasa arab dengan khusuf (الخُسُوفِ ) bagi bulan dan kusuf (الكُسُوفِ ) bagi matahari, iaitu hilangnya cahaya bulan atau matahari.


Ia bukanlah berlaku kerana kemurkaan Allah swt, tetapi merupakan petanda kepada kebesaran kekuasaan Allah swt. Ia juga berupaya menjadi peringatan kepada manusia tentang azab dan nikmat yang dijanjikan Allah swt pada hambanya kerana fenomena gerhana ini sangat besar ertinya samada dari penghayatan iman dan sains. Ia bukan fenomena baru yang hanya berlaku pada akhir zaman ini tapi telah berlaku sejak alam ini dijadikan dan juga pada zaman Nabi saw yang dikenali sebagai sebaik-baik kurun.


Dalilnya :


Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:


إِنَّ الشَّمْسَ وَالقَمَر َ آيَتَانِ مِنْ ايَاتِ اللهِ لاَيَخْسِفَان ِ لِمَوت ِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ
ذلِكَ فَادْعُوا اللهَ وَكَبِّرُوا وَتَصَدَّقُوا وَصَلُّوا


Maksud: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah”


Dalilnya :

عن ابن مسعود الانصارقال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله. يخوف بهما عباده. وَاِنَّهُمَا لا ينكسفان لموتِ أحد مِنَ النَّاسِ. فإذا رأيتم منها شيئا. فصلوا وادعوا الله يكشف ما بكم.


Maksud: Dari Abu Mas’ud Al Ansari beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya matahari dan rembulan (bulan) adalah dua di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya (kalau sedang gerhana) oleh Allah digunakan untuk menakuti para hambaNya.. Dan keduanya tidaklah gerhana lantaran kematian seseorang di antara manusia. Kerana itu, apabila kalian melihatnya, maka lakukanlah solat dan berdoalah kepada Allah sampai hal yang menakutkan itu hilang”





Solat Khusuf/Kusuf adalah sunat Muakkad sama ada bagi orang yang bermukim atau bermusafir, merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan dan sama ada ditunaikan secara berjamaah atau bersendirian


a). Bagi solat Gerhana Matahari waktunya bermula apabila ternyata berlaku gerhana dan berakhir dengan hilangnya gerhana itu, dan sehingga jatuh matahari dan gerhana tersebut. Sekiranya gerhana berlaku ketika atau selepas terbenam matahari, maka tidak ada solat gerhana.


b). Bagi Solat Gerhana Bulan waktunya bermula apabila ternyata berlakunya
atau awal terjadinya gerhana bulan dan berakhir dengan hilang gerhana
dan/atau naik (terbitnya) matahari.
Tidak dikira dengan naik fajar atau jatuhnya pada malam dengan gerhananya.
Sekiranya berlaku gerhana bulan ketika terbenamnya,
dan sebelum terbit fajar maka dibolehkan solat.

Tetapi jika terbenamnya bulan sesudah terbit fajar,
maka terdapat dua pendapat iaitu :


a). Qaul Qadim :
Tidak ada solat gerhana kerana kekuasaan bulan telah hilang
bila terbit fajar (subuh ).

b). Qaul Jadid :
Ada solat gerhana kerana kekuasaan bulan masih ada
sehingga terbit matahari ( syuruk ).


Catatan :
Di dalam mazhab Syafie dibolehkan bersolat walaupun ketika berlaku gerhana tersebut adalah waktu tahrim.


Boleh dilakukan di mana-mana saja, boleh di rumah, musolla, surau atau masjid.
Walau bagaimanapun yang lebih afdhal ialah masjid yang didirikan untuk Jumaat.


1). Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari :

أُصَلِّى سُنَّةَ الكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

Artinya :
“ Sengaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”


2). Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan


أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى


Artinya :
“ Sengaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”



3). Solat gerhana dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Yang akmalnya (sempurnanya) dilakukan dengan dua kali ruku’ dan 2 kali qiyam, pada tiap-tiap satu rakaat dengan tidak dipanjangkan bacaan pada rakaat yang kedua.


4). Yang terlebih akmal ialah dengan 2 rakaat, dengan 2 ruku dan qiyam bagi tiap-tiap satu rakaat dengan dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.



Kaifiatnya adalah seperti berikut:


1. Berdasarkan hadis :


عن عائشة نحو حديث ابن عباس وقالت: أَنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم خَسَفَتِ الشَّمْسُ قَامَ فَكَبَّرَ وَقَرَأَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلاً ثُمَّ رَفُعَ رَأْسُهُُ فَقَالَ سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَقَاَم كَمَا هُوَ نَقَرَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً وَهِىَ أَدْنى مِنَ القِرَاءَةِ الأُولَى ثُمَّ رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلاً وَهِىَ أَدْنَى مِنَ الرَّكْعَةِ الأُولَى ثُمَّ سَجَدَ سُجُودًا طَوِيلاً ثُمَّ فَعَلَ ِفي الرَّكْعَةِ الآخَِرةِ مِثْلَ ذلِكَ ثُمَّ سَلَّمَ وَقَدْ تَجَلَّتِ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسِ فَقَالَ ِ في كُسُوفِ الشَّمْسِ وَالقَمَرِ إِنَّهُمَا آيَتَانِ مِنْ آياَتِ اللهِ َلا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وََلا لحَِيَاتِهَ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلاَةِ.



Maksud: Dari Aisyah r.a. berkata:
“Sesungguhnya Rasulullah SAW berdiri (di masjid) pada hari terjadi gerhana matahari, lalu baginda mengadakan solat gerhana dan membaca bacaan yang panjang,
(seukur seratus ayat surah al-Baqarah),
kemudian beliau mengangkat kepala dan mengucapkan Sami’ Allahhu Liman Hamidah,
dan beliau berdiri lalu membaca bacaan yang panjang,
sedang bacaan (dalam berdiri yang kedua) ini sedikit berkurang
daripada bacaan yang pertama,
kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang panjang,
sedang ruku’ ini berkurang dari ruku’ pertama,
kemudian beliau sujud dengan sujud yang panjang
(bertasbih seukur bacaan seratus ayat),
kemudian beliau bertindak sepadan demikian (rakaat pertama) itu
pada rakaat yang akhir (kedua),
Selanjutnya beliau mengakhiri solatnya dengan salam,
sedang gerhana matahari telah berakhir.

Lalu baginda berkhutbah kepada manusia:
“Pada gerhana matahari dan bulan,
sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran)
di antara tanda-tanda kebesaran Allah.
Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang
pula tidaklah kerana kehidupan seseorang.
Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana)
maka bersyukurlah dan dirikanlah solat gerhana " ..
(Riwayat Bukhari 4-hlm: 358)



عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرو بنِ العَاصِ أَنَّهُ قَالَ: لَمَّا انْكَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ نُودِىَ بِ ( الصَّلاَةُ جَامِعَةً ) فَرَكـَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَينِ فِى سَجْدَةٍ. ثُمَّ قَامَ فَرَكـَعَ رَكْعَتَينِ فِى سَجْدَةٍ. ثُمَّ جُلِّىَ عَنِ الشَّمْسِ. فَقَالَتْ عَائشَةُ: مَا رَكَعْتُ رُكُوعًا قَطَُّ. وَلاَ سَجَدتُ سُجُودًا قَطَُّ. كَانَ اَطْوَلَ مِنْهُ.



Maksud: Dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash, beliau berkata:
“Tatkala matahari gerhana pada masa Rasulullah SAW,
maka diserukan : ‘as solatu jami`ah’.
Lalu Rasulullah SAW melakukan dua kali ruku’ dalam satu rakaat.
Kemudian berdiri lagi dan melakukan dua kali ruku’ dalam satu rakaat.
Kemudian matahari kembali muncul.
Aisyah berkata:
“Aku sama sekali tidak pernah melakukan ruku’ ataupun sujud
yang lebih lama daripada itu”

(Sahih Muslim 2-hlm: 81)


Secara ringkasnya seperti berikut :

1. Takbiratul Ihram.

2. Membaca doa iftitah.

3. Membaca Ta`awudz. ( تعاوز )

4. Membaca surah al-Fatihah.

5. Membaca mana-mana surah, yang terlebih afdhal surah al-Baqarah.

6. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira membaca 100 ayat.

7. Iktidal serta membaca surah al-Fatihah dan membaca surah ali-Imran atau mana-mana surah yang mudah.

8. Ruku' dangan membaca tasbih kira-kira membaca 90 ayat.

9. Iktidal.

10.Sujud dan membaca tasbih.

11.Duduk antara 2 sujud.

12.Sujud kembali.

13.Berdiri ke rakaat kedua.



b. Rakaat kedua.

1. Membaca surah al-Fatihah.

2. Membaca surah al-Nisa’ atau mana-mana surah.

3. Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira membaca 70 ayat semasa ruku’.

4. Iktidal serta membaca surah al-Fatihah dan membaca surah al-Maidah

atau mana saja surah yang mudah.

5. Ruku' dangan membaca tasbih kira-kira membaca 50 ayat.

6. Iktidal.

7. Sujud dan membaca tasbih.

8. Duduk antara 2 sujud.

9. Sujud kembali.

10.Membaca tasyahud akhir.

11.Memberi salam.


Beberapa Catatan ;

a. Tidak perlu iqamah tapi cukup sekadar ucapan : ( الصِّلاَةُ جَامِعَةً )

b. Sunat menyaringkan suara pada bacaan Fatihah dan surah ketika solat sunat gerhana bulan dan perlahan ketika solat sunat gerhana matahari.

c. Disunatkan mandi untuk solat gerhana, seperti hendak solat Jumaat.



Khutbah Solat Gerhana :

Dalil dari Aisyah r.a. berkata :


ثم سلم وقد تجلت الشمس فخطب الناس فقال في كسوف الشمس والقمر إنهما آيتان

من آيات الله لا يخسفان لموت أحد ولا لحياته فإذا رأيتموهما فافزعوا إلى الصلاة.


Artinya :
Selanjutnya beliau mengakhiri solatnya dengan salam,
sedang gerhana matahari telah berakhir.
Lalu baginda berkhutbah kepada manusia:
“Pada gerhana matahari dan bulan,
sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran)
di antara tanda-tanda kebesaran Allah.
Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang
pula tidaklah kerana kehidupan seseorang.
Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana)
maka lakukanlah solat gerhana”

(Riwayat Bukhari 4-hlm: 358)



1). Sunat membaca khutbah selepas solat sunat, walaupun gerhana sudah hilang.

2). Khutbahnya seperti khutbah hari raya tetapi tidak sunat bertakbir.

3). Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah bertaubat, bersedekah, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingati manusia supaya tidak lalai, jangan leka dengan dunia dan sebagainya.

4). Jika solat itu hanya terdiri dari wanita semata-mata, maka tidak perlu khutbah. ( Khutbah adalah seperti dilampirkan )



Secara umumnya bila ada pertemuan antara beberapa shalat sunat lainnya,
maka kaedahnya didahulukan yang paling ringan.
Sekiranya sama nilainya, maka didahulukan yang paling kuat.



Contoh :

a). Jika ada pertemuan antara solat gerhana dengan solat jenazah maka didahulukan solat jenazah.

b). Jika pertemuan gerhana antara solat gerhana dengan solat fardhu di awal waktu maka didahulukan solat gerhana kerana dibimbangi matahari atau bulan kembali cerah. Tetapi jika berlaku pertemuan peristiwa gerhana itu diakhir waktu solat fardhu maka didahulukan solat fardhu.

c). Jika pertemuan gerhana terjadi di antara solat gerhana dengan witir didahulukan solat gerhana.



RUJUKAN:

1. Matla’ Badrain.

2. Abu Ishaq Bin Ali Bin Yusuf al-Fairuzabadi, Al-Muhazzab, Juz 1, terj : Ali Achmad, Muhammad Yasin, Abdullah & Huda, Perniagaan Jahabersa. Perniagaan Jahabersa.

3. Ust Hj. Fadzil Hj. Ahmad. Hidup Ibadat , Pusat Pemasaran Motivasi, K.L

4. Dr. Abdul Karim Zaidan, Ensiklopedia Hukum wanita dan keluarga, Kajian mendalam masalah wanita & keluarga dalam perspektif syariat Islam. Pustaka Dini.

5. http://www.islamweb.net

Tidak ada komentar: